SEJARAH RINGKAS BASIKAL DALAM GELANGGANG
Basikal Dalam Gelanggang atau Basikal Dewan adalah terjemahan dari perkataan ‘Indoor Cycling’. Sukan ini dipratikkan di dalam dewan. Permainan ini dimainkan dalam dewan pada musim sejuk. Ia terbahagi kepada 2 jenis permainan menggunakan basikal. Satu daripadanya Basikal Artistik atau dipanggil Basikal Berirama dan satu lagi Basikal Bola (Cycloball). Basikal Bola dikhaskan untuk lelaki dan basikal Artistik untuk wanita dan juga lelaki. Kedua- dua acara ini dipertandingkan di peringkat dunia pada tiap- tiap tahun dalam bulan Oktober atau November.
Pada tahun 1983, dalam bulan Februari, seramai 2 orang Pegawai dari Persatuan Kebangsaan Lumba Basikal Malaysia (sekarang PKBM) telah dihantar oleh Presiden PKLBM, Dato’ Syed Kechik ke Hong Kong untuk menghadiri Kursus Pengenalan (Klinik) Indoor Cycling selama seminggu. Mereka yang dihantar ke kursus tersebut ialah En Ibrahim Omar dari Persatuan Lumba Basikal Johor dan En Fazin Saad dari Persatuan Lumba Basikal PDRM. Mereka telah dibekalkan dengan ilmu pengetahuan dalam kedua- dua acara ini.
Pada bulan November 1983, En Ibrahim Omar telah dihantar oleh PBNJ ke Vienna, Austria untuk menghadiri Seminar Sempena Kejohanan Indoor Cycling Dunia di sana. LL Di Vienna En Ibrahim Omar telah disenaraikan namanya sebagai wakil negara pertama dalam Kejohanan Dunia oleh International Indoor Cycling Commission memandangkan beliau telah pun mempelajari acara Artistik di Hong Kong. Bagi beliau penyertaan tersebut tidak begitu penting, yang penting penagalaman beliau dapat meneruskan latihan di Eropah untuk menimba ilmu sebanyak mungkin.
Sekembalinya beliau dari Eropah, beliau telah dibekalkan dengan 2 buah basikal artistic dan 4 buah basikal bola terpakai untuk dibawa pulang ke tanah air. Di Malaysia, iaitu di Johor Bahru beliau terus melatih bakat- bakat baru terdiri dari belia- belia untuk memajukan sukan ini di sekitar Johor Bahru.
Pada tahun 1984, dengan bantuan PLBJ, Malaysia telah menghantar peserta Artistik Lelaki untuk menyertai Kejohanan Dunia di Germany. Seterusnya, hasil latihan yang berterusan, pada tahun 1987, Persatuan ini telah diterima pendaftarannya atas nama ‘Persatuan Basikal Dalam Gelanggang Malaysia’ (Ruj. Pendaftaran : 1936/87).
Sejak dari tarikh itu, persatuan ini dapat menjalankan aktiviti- aktiviti tahunan dan dapat menghantar peserta- peserta ke kejohanan dunia setiap tahun.



