MELAKA 4 Dis. - Kepakaran teknikal Malaysia terus diperakui badan tertinggi berbasikal Asia, Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) apabila Datuk Abu Samah Wahab dilantik sebagai Delegasi Teknikal (TD) Sukan SEA 2019 Filipina pada 30 November hingga 10 Disember nanti.

Pengesahan perlantikan telahpun dilakukan Setiausaha Agung ACC, Ongkar Singh menerusi sepucuk surat yang dihantar kepada Pengarah Sukan Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA 2019 Filipina, Abraham Tolentino pada 29 November lalu.

Pelantikan terbaharu itu merupakan yang keenam selepas temasya di Vietnam pada 2003, Laos (2009), Indonesia (2011), Myanmar (2013), Singapura (2015).

Abu Samah yang juga Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan perlantikan tersebut dan menegaskan bahawa beliau telahpun menghantar surat menerima jawatan itu kepada ACC.

Saya telah pun dihubungi secara peribadi oleh ACC pada pertengahan November lalu. Bagaimanapun saya tidak berani membuat pengumuman kerana belum terima surat rasmi daripada ACC,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM semalam.

Abu Samah yang juga Presiden Persatuan Berbasikal Asean (ACA) bagaimanapun mengakui tugasannya kali ini sangat mencabar kerana acara trek yang menjadi lubuk emas kepada skuad kebangsaan belum pasti dipertandingkan.

Setakat ini belum ada pengesahan rasmi daripada Persekutuan Sukan SEA (SGF) atau Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Filipina (PSGOC).

Bagaimanapun, saya dimaklumkan akan ada mesyuarat teknikal Sukan SEA 2019 di Manila sama ada pada bulan ini atau pertengahan Januari, katanya.

Pada awal Mei lalu, PSGOC telah menyenaraikan berbasikal sebagai satu acara di Sukan SEA 2019. PSGOC menyenaraikan judo, jiujitsu, karatedo, taekwando, tinju, muay, arnis, wushu dan gusti kurash sebagai sukan wajib dalam temasya tersebut.

Memanah, billiard, sukan layar, pedang, bowling, triathlon, golf, bola tampar, gimnastik, angkat berat dan sukan menari turut menjadi rebutan pingat.

Abu Samah menegaskan setakat ini beliau dimaklumkan bahawa hanya disiplin lebuh raya, BMX dan basikal bukit (MTB) disenaraikan dalam Sukan SEA 2019 manakala status acara trek masih menjadi tanda tanya.


“Sebenarnya saya telah berhubung dengan wakil PCF (Persekutuan Berbasikal) Filipina dan bertanyakan tentang perkara ini. Mereka jelaskan perlu ada sekitar RM30 juta untuk kos ubah suai velodrom sedia ada di Manila.


“Oleh kerana kos yang sangat tinggi, ada kemungkinan acara trek tidak ditandingkan di Manila nanti. Bagaimanapun keputusan muktamad belum diputuskan,” jelasnya.

Jika acara trek tidak ditandingkan, Malaysia perlu mengubah sasaran medal menerusi berbasikal pada Sukan SEA 2019 nanti.- UTUSAN ONLINE



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/berbasikal/abu-samah-dilantik-td-sukan-sea-2019-1.798974#ixzz5ZGG74rOI 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Our Location

© 2007-2018 Malaysian National Cycling Federation