HomeNewsLatestTerengganu taja jersi kuning LTdL 2013

Terengganu taja jersi kuning LTdL 2013

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri mengumumkan penajaan jersi kuning (pemenang keseluruhan) sebanyak RM2 juta untuk kejohanan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, penajaan tersebut membuktikan sokongan padu kerajaan Terengganu terhadap penganjuran kejohanan lumba basikal terbesar di Asia itu.

Katanya, pada masa yang sama, penajaan itu juga menepati hasrat kerajaan negeri untuk mempromosikan Tahun Melawat Terengganu (TMT) yang juga jatuh pada tahun ini di seiring dengan komitmen negeri untuk terus melahirkan jaguh basikal daripada kalangan anak negeri.

"Jersi kuning kali ini memaparkan tema Tahun Melawat Terengganu dengan jelas dan ini memberi penjenamaan yang meluas untuk negeri ini di persada antarabangsa.

"Kerajaan negeri mahu menggunakan sepenuhnya peluang untuk mempromosikan negeri ini menerusi LTdL yang diakui antara acara sukan berbasikal yang besar di pentas antarabangsa," katanya.

Beliau ditemui selepas penyerahan cek tajaan berjumlah RM2 juta untuk LTdL kepada Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur LTdL, Datuk Abd. Jalil Abdullah di Wisma Darul Iman (WDI) di sini semalam.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Rozi Mamat; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rahin Mohd. Said; Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Zainal Abidin Hussin serta Ketua Sekretariat TMT 2013, Ahmad Fathil Abd. Ghani.

Turut serta dalam majlis itu ialah Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab; Ketua Pegawai Operasi LTdL, Emir Abdul Jalal dan Presiden Persatuan Lumba Basikal Terengganu, Ahmad Sidi Ismail.

Ahmad memberitahu, selain daripada penjenamaan logo TMT 2013 di kesemua stesen televisyen serta media cetak menerusi LTdL, pihak penganjur juga memberikan tiga peringkat perlumbaan untuk diadakan di negeri ini.

"Saya percaya ini bukan sahaja akan memberikan ruang promosi selama tiga jam kepada stesen tv domestik dan antarabangsa, namun, ia turut membuka peluang kepada semua rakyat Terengganu untuk menikmati limpahan ekonomi dari segi hotel serta perniagaan kecil selain berpeluang menonton aksi perlumbaan ini," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad yakin wakil negeri, Terengganu Cycling Team (TSG) mampu menghadirkan cabaran yang getir buat pesaing lain termasuk Pro Kontinental Champion System, skuad berbasikal kebangsaan, Kontinental OCBC Singapore serta Kontinental Baku Team pada LTdL kali ini.

"Selaku juara baru UCI Asia Tour 2012 yang lalu, saya percaya pasukan ini (TSG) akan melakukan kejutan besar dalam LTdL pada tahun ini," ujar beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20130131/su_05/Terengganu-taja-jersi-kuning-LTdL-2013#ixzz2JXCbls00
© Utusan Melayu (M) Bhd

 
Free business joomla templates